Sandal Kulit
tarikh: 5 Julai, 2009
Oleh NOREALYNA MISMAN
APABILA ingin melakukan aktiviti santai, sama ada membeli-belah, minum petang atau bersiar-siar di tepi pantai, pasti ramai lebih gemar mengenakan sandal yang tampak lebih ringkas.
Kebanyakan sandal untuk remaja menggunakan material plastik, getah dan kain kapas, namun di Ninakimi Handmade Leather Sandals, pelanggan boleh memiliki sandal selesa diperbuat dari kulit asli.
Pemilik Ninakimi, Zusyarina Zulkafli, berkata mereka menghasilkan dua jenis sandal iaitu sandal jenis ‘Flip flops’ dan ‘Gladiators’, yang kedua-duanya kini popular di kalangan remaja.
“Sekarang ini ramai muda-mudi gemar mengenakan Flip flops dan Gladiators apabila keluar dari rumah, tidak kira lelaki mahupun perempuan, mungkin atas faktor pengaruh artis Hollywood.
“Jadi, pasaran untuk kedua-dua jenis sandal ini memberangsangkan, cuma saya membuat sedikit kelainan apabila menghasilkan sandal daripada kulit kerana ia lebih selesa serta tahan lama,” katanya
Menurut Zusyarina, semua sandal dihasilkan sendiri, bermula daripada proses membuat rekaan sehingga menjahit dan ia dilakukannya bersama dua rakannya, Mohd Rizan Che Abdul Rahman dan Muhd Faiz Che Abdul Rahman.
Beliau berkata, selalunya sandal kulit hanya dihasilkan dengan warna asas yang kadangkala membosankan, namun sandal Ninakimi sangat comel dengan pelbagai corak abstrak unik dan menarik.
“Kami menggunakan kulit daripada pelbagai warna yang ceria, antaranya oren, putih susu, merah jambu dan hijau ‘turqoise’,” katanya.
Untuk sandal Gladiators pula, pasti ramai rambang mata dengan sandal jenis Helena, Majesta, Catherine,Auriel, Jovana dan Agatha yang ada di sini.
“Bagi yang inginkan lebih kepuasan, pelanggan boleh menempah sandal mengikut warna dan corak yang mereka mahu,” katanya.
Sandal jenis Flip flops Ninakimi boleh didapati dengan harga RM39 hingga RM49, manakala sandal jenis Gladiators berharga antara RM99 hingga RM150.
Penggemar sandal boleh berkunjung ke butiknya di BowGroup Showroom ,25 Jalan BU10/10, Bandar Utama, Petaling Jaya atau membuat tempahan secara ‘on-line’ di laman web, www.ninakimi.blogspot.com.
via:
Harian Metro Online